KISAH TENTANG PENGEMBARAAN

 BANDAR YANG TIADA DALAM PETA


Kereta api berhenti dengan deruman besi yang panjang. Seolah-olah menarik nafas yang terakhir sebelum diam. Aku turun dari gerabak dengan langkah yang ragu,menjejak ke platform yang hamper sepi. Tiada papan tanda besar, tiada suara gegak gembita seperti stesen bandar utama-hanya dinding batu kusam dan jam antik jarumnya sudah berhenti bergerak.
Di depan, sebuah bandar kecil menanti. Ia seakan tersembunyi dari dunia moden;rumah kayu yang berjajar, bumbungnya beratapkan zink, dan jalan utama hanya berlapis batu merah. Orang-orangnya bergerak perlahan,seolah masa di sini tidak terikat pada jam tangan kita. Aku cuba bertanya seorang lelaki tua duduk di bangku, tetapi jawapannya samar, “Bandar ini tidak ada dalam peta,anak muda. Kau hanya tiba kerana jalan mahu kau sampai.”
Kata-kata itu berputar dalam kepalaku ketika aku berjalan. Setiap Lorong sempit dipenuhi bau roti bakar dan sup herba yang mendidih di dapur terbuka. Kanak-kanak berlari tanpa alas kaki, ketawa dengan riang, dan anehnya semua orang memandangku seolah aku tetamu yang mereka sudah lama tunggu.
Aku berhenti di sebuah kedai buku kecil, cat birunya pudar, pintunya separuh terbuka. Di dalam, rak kayu sarat dengan buku lusuh, dan sudut meja ada sebuah diari kulit hitam seolah menunggu aku. Tanpa sadar, aku menyetuhnya-dan helaian pertama tertulis: “setiap pengembaraan bukan mencari tempat baru, tetapi tentang mencarimu yang hilang,”
Malam itu, aku bermalam di penginapan serdahana dengan lampu minyak yang berkelip-kelip. DI luar, hujan mula turun, mengetuk atap zink dengan irama yang menyenangkan. Aku terfikir, adakah kota ini benar-benar wujud, atau hanya bayangan yang muncul kerana aku berani melangkah keluar dari jalan biasa?
Episod kedua ini tidak memberi jawapan, hanya membuka lebih banyak persoalan. Tetapi aku tahu esok akan membawa aku lebih jauh-mungkin ke jalan yang tidak pernah ditandaka sesiapa,atau ke pertemuan yang mampu mengubah seluruh arah jelajahku.

Comments

Popular posts from this blog

KISAH TENTANG PENGEMBARAAN